. . . . sikap suka menunjuk-nunjuk (riak) adalah antara sifat Mazmumah (Terkeji) yang perlu dielakkan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Bagindapun berkata:” Syirik khafi iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya.” (Riwayat Ibnu Majah)
Huraian:
- Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.
- Sebaliknya riak pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).
- Perbuatan riak (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi satu tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang melakukannya dipandang hina oleh manusia lain. Oleh itu ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan yang ingin diserlahkan oleh nafsu kecuali amalan yang tidak dapat tidak, mesti dizahirkan seperti solat berjamaah, berpuasa dan yang seumpama dengannya.
- Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. Maka tiadalah pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya itu di sisi Allah S.W.T, sekalipun ia terpuji di mata manusia.
- Riak perbuatan yang tersembunyi di dalam hati, perasaan dan peribadi seseorang dengan niat dan tujuan tertentu. Orang yang gemar mengamalkan riak, hidup dan jiwanya penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata. Ini kerana ia bertujuan untuk mengharapkan pujian, sanjungan dan penghormatan daripada orang lain.
- Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud : "Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Meminta Simpati Hadis no. 6018).
- Seseorang yang riak juga selalu mengikut hawa nafsu. Biasanya nafsu banyak menggoda dan mempengaruhi perasaan dan jiwa manusia untuk melakukan sesuatu kejahatan.
- Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah." (Surah Sad, ayat 26).
- Manusia pada hakikatnya adalah makhluk Allah yang tidak layak untuk melahirkan perasaan bangga diri, megah dan takbur. Allah mengancam dan memberi amaran keras terhadap hamba-Nya yang melakukan riak dalam kehidupannya.
- Allah mengutuk dan melaknat orang yang melakukan ibadat yang disertakan dengan sifat riak. Selain menghapuskan segala amal kebajikan, sifat riak akan menghalang seseorang daripada mendapat rahmat Allah di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment